Assalamualaikum ikhwah dan akhawat jamiean,
Semalam ana sempat menghadiri kuliah mingguan (selasa malam) yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Hassan Abdul Kadir Al-Fathoni di Hayya Muhammadiah, Syimal Riyadh.
Berkaitan isu semasa di Malaysia, iaitu isu memorandum dan penangkapan SS Dato' Dr. Asri, bekas mufti Perlis oleh JAIS kerana menyampaikan kulliyyah tanpa tauliah, Ustaz Hassan mengeloh panjang sambil beristiqfar, kemudian memberikan beberapa pandangan berikut:
1. Perbezaan pendapat dalam masalah fiqh terutamanya yang bersifat furuq memang menjadi sunnatullah (penjelasannya agak panjang, ana rasa tak perlu ditulis di sini kerana rata-rata kita telah memahaminya) .
2. Masalah yang timbul di Malaysia ini juga berlaku di tempat-tempat lain termasuk di Patani. Perkara yang sama juga menjadi perkara biasa yang berlaku di Saudi yang majoriti masyarakatnya bermazhab Hambali dan sebahagian besar mengambil pendekatan Wahabi. Kehadiran masyarakat luar yang agak ramai di Saudi yang menganuti mazhab selain Hambali juga sering menimbulkan pertelingkahan. Namun begitu belum ada peringkat 'menangkap' dan 'mendakwa' di mahkamah.
3. Perkara yang berlaku di Malaysia ini mungkin terjadi apabila ada 'individu' atau 'kumpulan' yang terlalu takasub kepada sesuatu alihan kefahaman atau takasub kepada sesuatu hujah tanpa mengambil kira kewujudan hujah-hujah lain yang mungkin lebih 'qawiy'/kuat. Mereka mungkin merendahkan pandangan lain atau menolak perbezaan pandangan dan mengatakan pandangan yang lain daripada pandangan mereka adalah bidaah atau ditolak atau sesat.
3. Lebih buruk, apabila 'tokoh' yang mengajar 'seolah-olah memaksa' hujah atau dalil yang dipetiknya diikuti sepenuhnya tanpa mengambil kira kewujudan hujah-hujah lain. Sifat ini (kata ustaz) adalah gaya kurang soleh kumpulan Wahabi.
4. Seorang murabbi yang soleh sepatutnya mengemukakan semua hujah-hujah yang ada (mengajar dan tidak menyembunyikan hujah) dan memberi ruang kepada murid mereka untuk menilai (melihat hujah yang lebih kuat) dan memilih untuk mengamalkannya sesuai dengan kemampuan dan biah. Dalam bab ini kita sepatutnya belajar ilmu usul fiqh dan belajar hujah-hujah berbagai mazhab serta memahami adab berselisih pendapat.
5. Lebih malang juga apabila 'tokoh' atau 'ustaz' yang mengajar tidak berhikmah dalam berdakwah tanpa melihat waqi' dalam menggeluarkan sesuatu hujah (yang biasanya akan menjadi fatwa). Contohnya di negara-negara yang majoritinya bermazhab Syafie, hujah yang sering digunapakai ialah hujah dari mazhab Hambali. Ini yang sering berlaku di kebanyakan kawasan termasuk di Patani dan di Malaysia. Ketidak biasaan terhadap sesuatu hujah yang baru didengar akan menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan masyarakat. Perkara yang sangat sukar untuk dilakukan ialah berubah dari keadaan yang sudah menjadi kebiasaan.
6. Masih banyak kitab-kitab Arab aliran mazhab Syafie yang belum diterjemah kepada bahasa-bahasa lain termasuk ke bahasa Melayu, menyebabkan hujah Syafie kurang dipopularkan atau kurang diketahui oleh masyarakat umum. Kerajaan Saudi memberi peruntukan besar kepada ulama'-ulama' aliran Hambali untuk menterjemah kitab-kitab Arab aliran Hambali ini dan disebarkan secara meluas, tetapi kurang peruntukan diberikan kepada usaha menterjemah kitab-kitab Arab aliran mazhab Syafie. Mungkin juga kurang ulama' di Saudi atau dari mana-mana negara yang meminta peruntukan menterjemah kitab-kitab Arab aliran Syafie. Ini menjadi cabaran kepada ulama' aliran Syafie termasuk di Malaysia untuk tampil menterjemah kita-kitab tersebut jika mahu menguatkan perlaksanaan aliran mazhab Syafie.
.
Semoga bermanafaat dan terhindar dari fitnah.
Dr. Ibrahim Abu Bakar
King Saud University
Riyadh
P/s:
Ustaz Hassan merupakan orang Patani yang sudah lama menetap di Riyadh (sudah 32 tahun kalau tak silap ana). Beliau mendapat ijazah pertama dan masternya dari King Saud University (KSU) dalam bidang syariah dan Phd (mumtaz syaraf ula) dari Imam University, juga dalam bidang syariah. Beliau mahir dengan hujah-hujah dari empat mazhab di mana ilmu Hadith dan Fiqh ibadah merupakan subjek popularnya yang diajar kepada orang-orang Melayu di Riyadh ini hampir setiap malam Selasa (di hayya Muhammadiah) dan pagi Jumaat (di Restoran Malaysia, Riyadh). Beliau mendapat 'tauliyyah' dari kerajaan Arab Saudi untuk mengajar di Saudi serta mempunyai pendekatan dakwah yang menyelesakan kebanyakan masyarakat Melayu di Riyadh. Beliau mempunyai ramai murid dari kalangan masyarakat Malaysia, Indonesia dan Filipina dan turut mempunyai lebih dari seorang isteri. Salah seorang isterinya orang Melaka yang mengakrabkan lagi hubungannya dengan masyarakat Melayu Malaysia.
Selasa, 29 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan