Kepada anakku Hajah Alya Audah Al-Himmah, ayah nak bagi sikit tips untuk menghadiri temuduga tersebut.
(1). Bangun awal pagi, baca doa selepas bangun tidur, gosok gigi, wuduk, solat dan baca doa selepas solat.
(2). Mandi supaya segar dan pakai pakaian yang terbaik yang Alya ada. Pakaian dan penampilan sewaktu temuduga amat penting untuk menunjukkan keyakinan dan wibawa diri. Pakailah pakaian wanita muslimah yang benar-benar menurut syariat. Labuhkan tudung dan sekali-kali jangan 'over'. Bab ini Alya dah OK ayah rasa!, Pass!, Excellent!.
(3). Jangan lupa sarapan pagi. Jika tak sempat, bawa sedikit biskut untuk dimakan dalam perjalanan atau di tempat temuduga. Sarapan pagi sangat penting sebelum temuduga supaya kita ada tenaga yang cukup untuk berjuang.
(4). Datang awal ke tempat temuduga. Biarlah awal setengah jam dan kita tunggu sambil menenangkan diri.
(5). Sentiasa tenang dan senyum pada hari temuduga. Lupakan kesusahan yang dialami dan jauhi rasa susah hati dan muram. Sesekali jangan bermuka masam. Senyum...senyum...senyum!, walaupun kita sahaja yang tahu yang kita punyai banyak masalah dan tekanan yang dihadapi sebelum ini.
(6). Masuk ke bilik temuduga apabila dipanggil oleh kerani yang menjaga pintu bilik tu, eloklah beri salam dan kalau perlu, ketuk pintu dulu (jangan terlalu kuat ketuk pintu tu) dan minta izin untuk masuk.
(7). Berjalan ke meja penemuduga (atau ke kerusi khusus yang disediakan) dengan penuh keyakinan dan berilah salam sekali lagi sambil senyum. Duduk di kerusi yang disediakan selepas dijemput duduk. Jika tak dijemput berdiri saja dulu.
(8). Duduklah dengan sopan, betulkan kedudukan biar selesa. jangan duduk dalam keadaan 'senget' kerana gaya kita sentiasa diperhatikan dan ia juga menggambarkan keyakinan diri kita.
(9). Perkenalkan diri apabila disuruh oleh penemuduga dan jawablah dengan penuh keyakinan dan sopan kepada semua soalan yang diajukan. Anggukkan kepala secara sederhana apabila mendengan penerangan atau apa-apa kata nasihat oleh penemuduga. Ingat, gaya badan amat penting ketika ini kerana kita sentiasa diperhatikan oleh penemuduga. Jangan sekali-kali bercakap bohong. Akui sahaja jika kita benar-benar tidak tahu kepada soalan yang ditanya. Minta maaf jika perlu. Jangan sekali-kali berdiam diri atau takut untuk bercakap.
(10). Jika diberi peluang untuk berkata-kata untuk kali terakhir sebelum temuduga selesai, cakaplah dengan jujur dengan penuh pengharapan supaya penemuduga meluluskan permohonan kita atau memilih kita dan nyatakan kenapa kita benar-benar mahukan tempat belajar tersebut.
(11). Selepas selesai temuduga dan penemuduga kata boleh keluar, berdirilah dan berjalan keluar dengan sopan. Jangan lupa ucapkan terima kasih dan ucap salam kepada semua penemuduga.
(12). Jangan sekali-kali menjerit atau bermuram durja selepas keluar dari bilik temuduga. Tenangkan diri dan berdoalah supaya Allah membantu dan memberikan keputusan yang baik untuk kita. Yakinlah yang Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan biarlah dia berikan yang terbaik untuk kita. Jika kawan-kawan atau ahli keluarga bertanya tentang bagaimana keadaan temuduga yang dilalui, jawablah dengan baik dan penuh sopan serta mintalah mereka mendoakan juga kejayaan kita.
OK wahai Hajah Alya Audah Al-Himmah, Inilah sedikit panduan untuk anakku dari ayahmu!..... Panduan inilah juga yang ayah guna setiap kali ayah menghadiri temuduga. Dah banyak dah temuduga yang ayah lalui sebelum ini. Banyak juga temuduga yang ayah berjaya - Alhamdulillah, dan ada juga yang gagal - Alhamdulillah.
Selamat berjuang!!!...
Selasa, 29 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan