Blog ini dibangunkan dengan niat untuk menjadikannya medan penulisan dan perkongsian bahan-bahan tarbiyyah termasuklah penulisan tentang pengalaman hidup, nasihat-nasihat, panduan-panduan berguna dan perbincangan isu-isu semasa buat manafaat diri sendiri, isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang boleh mencapainya. Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah saya yang diterima Allah sebagai amal soleh.

Selasa, 29 Disember 2009

Epilog Haji 1430H - Sebuah Catatan buat Pedoman (2)

MANASIK HAJI DAN PANTANG LARANG IHRAM

Semasa menghadiri kursus haji di Riyadh yang dikendalikan oleh Al-fadhil Ustaz Hassan Abdul Kadir, saya seringkali mendengar nasihat ustaz yang diulang-ulang beberapa kali supaya mereka yang hendak menunaikan ibadah haji seharusnya mengikut cara (sunnah) rasullullah s.a.w. menunaikan haji (ikut serapat mungkin). Ini kerana Rasullullah s.a.w bersabda:

'Ambillah contoh hajiku untuk menunaikan ibadah hajimu'. (Hadith Riwayat Muslim; 1297).

Ustaz juga berkata: syarat sah haji ialah ikhlas melakukan ibadah haji kerana Allah s.w.t semata-mata dan mengikut sunnah rasullullah s.a.w.

Allah s.w.t berfirman:

'Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu'. (Surah Al-Imran, ayat 31).

Pengalaman saya menunaikan manasik haji (ifrad) kali kedua ini tidaklah begitu sukar sebab saya dan isteri pernah menunaikannya (juga haji ifrad) pada tahun 2000. Cuma yang berbeza kali ini ialah kami membawa dua orang anak berbanding pada tahun 2000 di mana saya dan isteri membawa emak saya yang agak uzur serta seorang kakak ipar yang belum berkahwin ketika itu. Yang pasti, cabaran dan dugaannya adalah berbeza.

Tidaklah sukar sebenarnya melaksanakan manasik haji jika kita sudah berkursus haji (maksudnya ada sedikit ilmu) apatah lagi segala pendetailan manasik haji serta doa-doanya terdapat dalam puku panduan haji. Bawa sahaja buku tersebut dan gantungkannya pada leher atau letakkannya dalam beg sandang dan bacalah bila diperlukan. Kerajaan Saudi juga banyak mengedarkan buku panduan manasik haji secara percuma dalam berbagai bahasa termasuk bahasa Indonesia.

Sepanjang perjalanan menuju ke Makkah, Ahnaf dan Alya banyak bertanya kepada saya kenapa kita perlu melakukan itu dan ini dan kenapa kita tak boleh melakukan itu dan ini semasa menunaikan haji. Saya melayani pertanyaan mereka satu persatu sehinggalah saya sampai ke tahap dah tak berdaya nak menjawabnya kerana terlalu banyak soalan. Saya kemudiannya secara mudah mengatakan yang kita perlu mengikut tauladan yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim dan Ismail di mana ketika Allah memerintahkan nabi Ibrahim menyembelih nabi Ismail, kedua-dua mereka taat tanpa membantah, malah tanpa bertanya banyak soalan kenapa dan mengapa. Jangan kita menjadi seperti bangsa Yahudi ketika zaman nabi Musa di mana mereka hampir-hampir tidak melakukan apa yang diperintahkan Allah gara-gara terlalu banyak bertanya (kami merujuk surah Al-Baqarah ayat 67-74).

Alhamdulillah saya, isteri, Alya dan Ahnaf dapat juga menyempurnakan semua manasik haji kali ini dengan benar-benar kami berusaha melakukannya mengikut sunnah rasullullah s.a.w. Kami melakukan semua rukun haji, wajib haji, sunat haji juga menjaga semua pantang larang ihram tanpa sebarang masalah besar.

Yang menarik kali ini ialah saya dan Ahnaf memakai minyak wangi yang sangat harum baunya pada badan selepas mandi ihram (rasanya perkara ini tidak diajar oleh Tabung Haji Malaysia - atau mungkin saya terlupa ketika menunaikan haji tahun 2000) dan kami melakukan solat ihram selepas menunaikan solat Zohor kerana begitulah yang diajar oleh Rasullullah kata musyrif, ustaz Munir.

LEBIH SUKAR UNTUK MENAHAN RASA MARAH

Yang lebih susah dirasakan ketika menunaikan ibadah haji kali ini ialah mengawal rasa marah. Apatah lagi apabila membawa anak-anak dan mahram perempuan. Saya membawa Ahnaf yang berusia 9 tahun (tak lah kecil sangat), isteri dan seorang anak perempuan; Alya yang berusia 12 tahun.

Ada beberapa peristiwa yang merangsang rasa marah saya (harap-harap cerita ini tidak merendahkan martabat saya - ianya untuk iktibar supaya saya dan pembaca cerita ini tidak mengulanginya:

1) Ahnaf tak mahu bangun solat subuh.

Peristiwa ini berlaku pada malam pertama kami sampai di Mina. Kami sampai sekitar jam 12.30am. Ahnaf sudah tidur lama dalam bas dan agak segar ketika saya suruh dia tidur. Difahamkan pada jam 3.30am atau 4.00am sudah masuk waktu subuh. Pastinya semua orang dalam khemah akan bangun awal dan hanya tidur selama 3 atau 3 1/2 jam sahaja. Tak tahulah saya pada jam berapa Ahnaf tidur kemudiannya, yang pastinya waktu semua orang sudah bangun dan mula membentang sejadah untuk solat, Ahnaf masih belum bangun. Beberapa kali saya menggeraknya, beliau terus mengeraskan badannya tak mahu bangun. Lebih malang, tempat Ahnaf tidur tu sebenarnya tempat untuk imam solat berjamaah di dalam khemah kami. Pak imam (seorang India) turut mengejutkan Ahnaf diikuti oleh beberapa orang jamaah yang lain namun Ahnaf terus mengeraskan dirinya tak mahu bangun. Saya dah habis usaha, rasa nak marah tapi ditahan sahaja dan kami meneruskan solat dengan mengenjakkan sedikit kedudukan Ahnaf yang menghalang tempat imam. Selepas solat pak imam memberi tazkirah subuh dan Ahnaf masih tidur. Saya sekali lagi rasa nak marah bercampur malu lantas berusaha lagi mengejutkan Ahnaf. Semasa waktu subuh tinggal sedikit sahaja lagi, saya secara paksa menggangkat Ahnaf dan membawanya ke bilik air. Jamaah lain melihat peristiwa ini sambil melemparkan senyuman pada saya. Akhirnya, selepas disimbah air, Ahnaf bangun dan terus mengambil wuduk dan menunaikan solat subuh secara 'express' seperti ayam patuk gandum (mudah-mudahan Allah menerima solat Ahnaf). Ahnaf menyambung tidurnya selepas solat tatkala itu tazkirah subuh belum tamat. Saya beristigfar panjang.

2) Ahnaf mengompol (kata orang jawa).

Peristiwa ini berlaku lanjutan daripada peristiwa di atas. Saya dapati selepas beberapa jam Ahnaf menyambung tidurnya, tilam tempat Ahnaf tidur basah. Ya Allah...Ahnaf kencing!. Rasa macam nak marah. Saya menahan kemarahan lagi. Tenangkan diri, terima kenyataan walaupun rasa malu kerana pastinya orang akan tahu terutamanya pakcik-pakcik India yang tidur di sebelah saya dan Ahnaf dan beberapa jamaah haji Indonesia yang tidur bertentangan dengan saya dan Ahnaf. Selepas Ahnaf bangun (elok pulak dia bangun sendiri), waktu tu sudah hampir nak masuk waktu Zohor, saya terus membasuh tilam Ahnaf, dan semua kain ihramnya. Yang geramnya Ahnaf hanya sengeh! saya sekali lagi beristigfar panjang. Malam-malam berikutnya saya menemani Ahnaf untuk kencing dulu sebelum tidur dan Alhamdulillah peristiwa tersebut tidak berulang dan Ahnaf bangun awal setiap kali untuk solat Subuh. Tahniah Ahnaf!.

3) Sekali lagi Ahnaf terkencing

Peristiwa ini berlaku dalam bas, sewaktu dalam perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah. Ahnaf tertidur keletihan dalam bas setelah penat berdoa di Arafah. Alhamdulillah, Ahnaf amat 'excellent' semasa wukuf di Arafah. Beliau menamatkan (qatam) bacaan Al-Qurannya untuk kali pertama dalam hidupnya semasa berwukuf di Arafah dan dia benar-benar berdoa sepanjang waktu Zohor sehingga waktu Maghrib. Tahniah Ahnaf!. Memang letih sungguh saya melihatnya tidur di atas kerusi bas tu. Bas kami terperangkap dalam kesesakan jalan menuju ke Muzdalifah. Bas bertolak dari Arafah jam 6 petang dan hanya tiba di Muzdalifah jam 11.30 malam. Keadaan dalam bas sangat sejuk. Entah kenapa pemandu bas tak mahu tutup air-cond dan beberapa kali disuruh, pemandu bas buat tak tahu sahaja. Akhirnya kami sampai di sempadan Muzdalifah dan beberapa orang jamaah berkejaran turun kerana ingin buang air. Ahnaf tak mahu bangun dari tidurnya. Sama keadaannya seperti peristiwa (1) dan kali ini terkencing lagi dalam bas. Saya dapat bersabar lagi ketika itu kerana memahami keadaannya yang letih dan keadaan dalam bas yang amat sejuk. Saya berkali-kali minta Ahnaf bangun dan turun bas. Ahnaf terus menangis. Kesian pulak saya tengok dia. Isteri saya turut memujuk Ahnaf. Biasanya Ahnaf kalah dengan pujuk rayu isteri saya tapi kali ini Ahnaf buat tak tahu sahaja. Saya mula rasa nak marah. Bas pula dah nak jalan cari tempat parking. Pemandu bas marah-marah suruh kami turun segera kerana dia juga nak turun dan nak mengunci pintu bas. Ahnaf masih berdegil. Saya terpaksa berkeras dan memaksa ahnaf bangun. Sekali lagi saya mengangkat Ahnaf dan bila tiba di bawah bas, saya mencurah air ke arah Ahnaf. Ahnaf terus merajuk. saya minta bantuan isteri saya memujuknya. Isteri saya hanya diam kerana dia amat mengenali Ahnaf. Saya sekali lagi rasa nak marah, kali ini rasa nak marah pada isteri saya juga kerana dia hanya diam dan senyum. saya beristigfar panjang. Akhirnya saya berlalu menuju tempat solat bersama jamaah yang lain. Saya mengimamkan solat dengan jiwa yang sedikit tidak tenteram. Kami solat jama' Maghrib dan Isya di Muzdalifah. Selepas solat, saya dapati Ahnaf dah Ok dengan sendirinya. Dia kata dia menangis kerana lapar. Isteri saya memberinya biskut. Dia makan semua biskut tersebut tanpa tinggal sedikitpun untuk saya, isteri dan Alya. (kami hanya melihat dengan penuh sabar sambil menahan lapar). Selesai makan, saya membasuh badan Ahnaf, membantu dia mengambil wuduk dan suruh dia sembahyang jama' secara sendirian. Saya beristigfar panjang lagi.

4) Isteri dan Alya mengusik saya pula

Peristiwa ini berlaku pada hari kedua kami berada di Mina, ketika itu kami dalam perjalanan pulang dari Jamarat ke khemah di Mina dengan berjalan kaki. Biasanya kami berjalan kaki sejauh 8 km pergi-balik ke jamarat dari khemah di Mina. Memang biasanya agak letih berjalan kaki ini ditambah pula kadang-kadang susah untuk mendapatkan air minum dan makanan dalam perjalanan (perut cepat saja jadi lapar) dan kadang-kadang rasa amat tertekan kerana dihalang oleh pihak polis yang menggawal keadaan lalu lintas. Orang pula terlalu ramai dan keadaan bersesakan. Lagi 2 km untuk sampai ke khemah, isteri saya secara berseloroh berkata yang saya tak hiraukan dia kerana saya asyik berjalan di hadapan tanpa menoleh ke belakang menunggu beliau dan Alya. Boleh lagi dia berseloroh dalam keadaan serius begitu. Saya secara tak semena-mena terasa hati kerana selama ini saya sangat menjaga keselamatan isteri dan anak-anak saya. Saya sentiasa berjalan di hadapan untuk mencari jalan pulang kerana banyak kali kami tersesat jalan. Saya akui memang kadang-kadang saya terabai juga untuk menoleh kebelakang melihat mereka. Saya asyik berjalan dengan Ahnaf saja. Alya juga mungusik saya dengan mengatakan saya asyik mengepit Ahnaf dan tidak mahu berjalan dengannya. Ya Allah...entah mengapa saya rasa terkilan. Mudah sungguh untuk rasa kecil hati ketika berada di Makkah dan itulah antara ujian Allah. Saya menahan marah dan hanya berdiam diri. Alya mengusik lagi dengan berkata 'ayah jangan marah, nanti tak dapat haji mabrur'. Saya beristigfar panjang. Saya terasa syaitan mengikuti saya. Saya terus beristiqfar sambil berfikir yang syaitan tak takut pula berada di Mina di mana laungan talbiyah sentiada bergema. Saya menyuruh isteri saya dan Alya berjalan di hadapan pula. Saya terus mendiamkan diri. Menyedari keadaan saya, isteri saya turut mendiamkan dirinya. Dia lebih pandai mengawal marah. Esoknya saya meminta maaf pada isteri saya dan Alya di atas peristiwa semalam. Saya benar-benar mahukan haji mabrur. Jangan sampai kemarahan saya semalam menyebabkan Allah menafikan hak saya mendapat haji mabrur. Alya memeluk dan mencium saya; Itulah ayahnya yang cepat ambil hati. Saya turut meminta maaf pada Ahnaf kerana sebelum ini (dalam peristiwa-peristiwa yang saya ceritakan sebelum ini) saya juga rasa nak marah pada Ahnaf. Seperti biasa Ahnaf hanya tersengeh.

5) Peristiwa di restoran Turki

Peristiwa ini pula berlaku ketika kami sedang beratur untuk membeli makanan di sebuah restoran Turki dekat Azizia. Waktu tu lepas solat Zohor dan orang benar-benar ramai di restoran tu untuk makan tengah hari. Secara tiba-tiba datang seorang pemuda Turki memotong barisan kami dan sambil terburu-buru mengambil talam. Saya masih bersabar melihat pemuda Turki tersebut dan membiarkannya memotong kami. Tiba-tiba ketika dia berpaling kebelakang mencari kawannya (mungkin untuk mengajak kawannya datang ke hadapan), talam ditangannya terhuyung hayang mengenai kepala Ahnaf. Saya rasa nak marah lagi. Terlepas juga dua perkataan ('ish enta' dalam bahasa ammiyah bermaksud kenapa dengan anda) dari mulut saya sambil 'menjege' mata kepadanya. Pemuda tersebut terdiam. Mungkin tak sangka peristiwa tersebut akan berlaku dan mungkin rasa bersalah dengan tindakannya yang menyebabkan Ahnaf dikasari apatah lagi bila Ahnaf mengadu kesakitan. Selepas menasihati pemuda itu saya pula rasa bersalah kerana memarahinya dan teringat pesanan ustaz Hassan supaya jangan marah ketika menunaikan ibadah haji. Saya beristigfar lagi. Alya bertanya; Ayah marah ke?. Saya berkata pada Alya; 'Dalam keadaan tu kita kena bersikap tegas!'.

Itulah beberapa peristiwa yang mencabar rasa marah saya ketika menunaikan haji. Saya mengharapkan keampunan Allah - saya benar-benar mahukan haji mabrur.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah (sebahagian ayat 197):

'Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji maka tidak boleh rafath, berbuat maksiat dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji'...

Saya berfikir, patutlah ramai jamaah lelaki datang bersendirian untuk menunaikan ibadah haji. Kurang sedikit cabarannya terutamanya untuk melayan kehendak anak-anak dan isteri. Tapi Allah kan maha adil. Pastinya ada cabaran yang lain.

Saya bertanya kepada isteri saya sama ada bolehkah kita meminta Allah menghapuskan terus perasaan marah dalam diri kita? Isteri saya hanya mendiamkan diri tak berani nak jawab.

Berkenaan dengan anak-anak, patutlah Allah menetapkan salah satu syarat wajib haji ialah berakal; orang yang berakal lebih matang dan lebih senang untuk diuruskan. Namun begitu harus diingat membawa anak-anak kecil juga ada pahalanya di mana ibu dan bapanyalah yang akan mendapat ganjaran tersebut. Saya masih ingat kata-kata tersebut pernah diucapkan oleh Ustaz Hassan namun begitu ketika membuat catatan ini saya tak ingat pula matan hadisnya atau dalil al-Qurannya.

(...nanti bersambung lagi).

1 ulasan:

  1. Alya: Ayah..naper ayah masukkan watak alya dlm CERITA ayah ni..malu alya..SATU DUNIA baca tau..

    MAMA: Ok ayah buat catatan ini. Sebagai satu kenangan dan renungan dan catatan sejarah hidup kita. Moga catatn ini dapat dibaca oleh cucu-cucu kita nanti....

    BalasPadam