Keinginan untuk menunaikan ibadah haji buat kali kedua begitu kuat pada tahun ini kerana itulah pun antara tujuan saya datang berhijrah ke Arab Saudi. Kali pertama saya menunaikan haji ialah pada tahun 2000 bersama isteri, emak, seorang kakak ipar yang belum lagi berkahwin ketika itu (Kak Teh) dan pakcik serta makcik sebelah isteri (Cik Ramli dan Cik Arah). Tahun lepas saya tidak berkesempatan untuk menunaikannya kerana saya dan keluarga baru sahaja tiba di Riyadh dan perlu menyesuaikan diri dulu di persekitaran baru. Tahun lepas kami hanya mampu 'mencuri' sedikit pahala percuma dengan menjaga anak-anak Haji Rashid dan kak Salina yang pergi menunaikan haji bersama anak lelaki sulong mereka.
Alhamdulillah, tahun ini 1430H; saya, isteri dan dua orang anak saya [Alya (12 tahun) dan Ahnaf (9 tahun)] sempat juga menunaikan ibadah haji dan ia juga adalah hadiah istimewa buat Alya yang lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSRnya dan baru sahaja melangkaui usia baligh. Buat Ahnaf, ini juga adalah hadiah istimewa buatnya kerana telah berjaya menjadi anak yang baik dengan berusaha keras untuk menghabiskan bacaan Al-Quran buat julung-julung kali dalam hidupnya.
Semoga Allah mengurniakan kami haji mabrur, diberikan kekuatan untuk istiqamah dengan amal Islami, suci dari segala dosa sehingga ke akhir hayat dan dikurniakan dengan syurga yang sangat diidamkan.
Sabda Rasullullah s.a.w maksudnya: Dari satu umrah ke satu umrah, Tuhan akan ampunkan dosanya dan haji mabrur itu tidak ada balasan lain melainkan syurga - riwayat Bukhari dan Muslim.
Bersama Jamaah Haji Indonesia dan Agen Haji: Al-Efadah Al-Mahdudah
Kali ini kami memilih untuk bersama rombongan jamaah haji Indonesia dari Riyadh melalui sub-agen haji Al-Efadah Al-Mahdudah yang berpangkalan di Badiah dan diuruskan oleh aktivis-aktivis PKS. Rata-rata jamaah haji Indonesia dalam rombongan ini terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai pemandu, pembantu kedai, pembantu rumah dan pelajar universiti. Masul rombongan adalah Ustaz Mas'ud dengan dibantu oleh saudara Mas Anam (Khairul Anam) dan ustaz Kamaruddin Qamar. Musyrif-musyrif pula terdiri daripada Ustaz Munir (mahasiswa PhD universiti Imam) dan ustaz Eko Haryanto @ Abu Ziyad (juga mahasiswa PHD universiti Imam). Rombongan dari Badiah (dua bas semuanya) ini bertolak menuju Makkah selepas solat Isya' tanggal 6 Zulhijjah 1430H.
Alhamdulillah, tiada masalah besar dihadapi sepanjang permusafiran ini kecuali sedikit insiden cemas dan pilu yang berlaku dekat Taif.
Insiden Pilu di Taif, Tawaf Qudum dan Bermalam di Mina Tambahan
Sekitar jam 1.30 petang, selepas rombongan kami singgah di miqat Qarnul Manazil untuk berihram, solat zohor dan berniat haji. kami meneruskan perjalanan menuju Makkah. Di 'check-point' selepas Qarnul Manazil, bas kami ditahan polis, polis naik ke atas bas untuk memeriksa tasyrih (permit haji) dan mendapati anak saya (Ahnaf) tiada tasyrih dan beberapa orang lain lagi juga tiada tasyrih. Polis amat marah namun begitu selepas berunding denggan pihak polis tersebut akhirnya Ahnaf dibenarkan meneruskan perjalanan dengan alasan dia di bawah umur sebaliknya beberapa orang yang tiada tasyrih diarahkan turun bas, menanggalkan pakaian ihram dan berjalan kaki. Driver bas juga diarahkan menukar pakaian ihramnya.
Dengan tenang, tawadhuk dan rasa penuh tanggung jawab ustaz Munir dan Mas Anam yang bersama dalam bas kami telah mendahului turun bas, menanggalkan pakaian ihram dan mula berjalan kaki. Mereka sedikitpun tidak melawan kemarahan pihak polis tu. Saya amat terharu dan kagum dengan sikap tenang, tawadhuk dan tanggung jawab mereka walaupun saya juga turut bersalah kerana tidak memohon tasyrih untuk Ahnaf. Saya difahamkan sifat tenang dan tawadhuk ini sangat penting untuk dijaga ketika melaksanakan ibadah haji. Saya menawarkan diri untuk turut bersama-sama mereka berjalan kaki, namun dihalang oleh beberapa orang jamaah haji yang lain.
Kami meneruskan perjalanan sementara Ustaz Munir, Mas Anam dan beberapa orang lagi (termasuk 4 orang perempuan) berjalan kaki dalam kepanasan. Saya diberitahu bahawa selepas hampir satu atau dua kilometer berjalan kaki mereka menahan 'kereta sapu' dan mengejar bas kami. Bas berhenti mengambil mereka di satu tempat rehat iaitu kira-kira 7 atau 8 kilometer dari tempat check point. Difahamkan juga bahawa kesemua mereka yang menanggalkan ihram kemudiannya membayar dam (disponsor oleh sub-agen) kerana melanggar wajib haji (iaitu tidak berihram setelah niat haji di miqat).
Kami tiba di Makkah (Masjidil Haram) sekitar jam 7.00 malam (kelihatan begitu ramai orang keluar dari Masjidil Haram selepas menunaikan solat Maghrib). Kami menunaikan solat Maghrib, solat Isya' dan melakukan tawaf qudum sebelum berangkat ke Muzdalifah (sempadan Mina yang telah digazetkan menjadi kawasan Mina tambahan) dan tiba di khemah (No. 21-716) sekitar jam 12.30 malam. Semua anggota rombongan keletihan dan kelaparan (tiada makanan disediakan sepanjang perjalanan). Ramai juga yang merungut dan marah-marah, maklumlah setelah bermusafir selama hampir satu setengah hari dan mengalami sedikit tekanan.
Berduyun Manusia Menuju Makkah Menyambut Seruan Ilahi
Semasa di Taif terutamanya berhampiran 'check point' selepas miqat Qarnul Manazil, saya sempat melihat berduyun-duyun manusia berjalan kaki menuju Makkah sambil membawa barang keperluan masing-masing. Ada lelaki, perempuan, tua, muda, kanak-kanak malah ada juga bayi yang didokong oleh ayah atau emaknya. Ada juga mereka yang keuzuran menaiki kereta sorong yang ditolak oleh orang lain. Ada yang dikejar polis, lalu melarikan diri di celah-celah bukit kecil dan ada juga yang jatuh lalu dikejarkan ke ambulan yang sedia menunggu di tepi jalan. Saya difahamkan mereka tiada tasyrih namun sangat bersemangat untuk menyambut seruan ilahi menunaikan ibadah haji. Pihak polis pula dirasakan berada dalam keadaan serba salah antara menghalang/mengawal bilangan jamaah haji tanpa tasyrih yang sangat ramai (slogan mereka: la haj bi la tasyrih) atau membenarkan sahaja mereka, kerana semuanya ingin beribadah kepada Allah. Mungkin mereka sangat takut dengan amaran Allah seperti dalam surah A-Baqarah, ayat 114 di mana Allah berfirman:
'Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-NYa, dan berusaha untuk merobohkannya?. Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah). mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat'.
Lagi Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat ke-99 (maksudnya):
Katakanlah wahai ahli kitab, 'megapa kamu menghalang-halangi dari jalan Allah orang-orang yang telah beriman, kamu menghendakinya menjadi bengkok, padahal kamu meyaksikan?. Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan'.
Saya teringat kisah nabi Ibrahim yang disebut dalam Al-Quran (Surah Al-Haj) takkala selesai Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membina kaabah, lalu Allah mengarahkan Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang mengerjakan haji. Nabi Ibrahim kebingungan kerana bagaimana beliau hendak menyeru manusia yang tiada dalam pandangannya ketika itu dan tiada alat untuk menyeru. Lalu Allah menerangkan kepada Nabi Ibrahim yang tugasnya hanyalah menyeru dan Dialah yang akan menyampaikannya. Maksud firman Allah:
'Dan serulah umat manusia mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan menunggang berbagai jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh'.
...bersambung.
Selasa, 29 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Maidah, ayat ke-2 (maksudnya): ...dan jangan (pula) mengganggu orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredaan dari Tuhannya...
BalasPadam