Wahai saudaraku,
1) Al-Quran telah jelas menerangkan matlamat hidup manusia. Ia menerangkan kepada kita kenapa manusia dihidupkan di bumi ini dan apa yang sepatutnya mereka lakukan.
2) Al-Quran juga telah menerangkan tentang adanya berbagai jenis manusia dengan berbagai tujuan hidup mereka. Antaranya firman Allah (swt) dalam Surah Muhammad ayat 12 (maksudnya):
…dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan dan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.
Ayat di atas menerangkan bahawa adanya manusia yang tujuan hidup mereka hanyalah untuk berseronok dan untuk makan serta minum dengan bebas.
Firman Allah (swt) lagi dalam Surah Aali Imran, ayat 14 (maksudnya):
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman, semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).
Jelas dengan ayat di atas tentang adanya manusia yang matlamat hidup mereka hanyalah mahukan hiasan dan kesenangan hidup yang pastinya akan fana’.
Ada juga manusia yang tujuan hidup mereka hanyalah untuk mewujudkan keadaan huru-hara serta mencetuskan suasana yang tidak selamat dan tidak aman seperti apa yang difirmankan Allah (swt) dalam surah Al-Baqarah ayat 204-205 (maksudnya):
Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya) berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
3) Allah (swt) telah menyerahkan tugas yang lebih besar dan mulia kepada manusia di bumi ini iaitu tanggung-jawab memimpin manusia ke arah jalan yang benar, membimbing manusia ke arah jalan yang baik dan memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia. Firman Allah (swt) dalam surah Al-Haj ayat 77-78 (maksudnya):
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada tuhan kamu (dengan mentauhidkan Nya) serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). Dan berjihatlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama iaitu ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu ‘orang-orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasullullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan salah). Oleh itu dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah, Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatnya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi Pertolongan.
Umat Islam telah dipilih oleh Allah (swt) untuk menjadi pembimbing kepada umat manusia keseluruhannya. Dia telah menyerahkan hak menguasai dunia ini kepada mereka untuk menunaikan tanggung jawab yang suci ini.
Tanggung jawab besar : berkorban bukan mengaut untung…
4) Dalam usaha mencapai matlamat suci ini, orang-orang beriman telah menjual jiwa dan harta mereka kepada Allah. Tiada lagi yang dikira haknya, segala-galanya diserahkan demi kejayaan dakwah ini dan supaya dakwah ini sampai ke hati manusia. Firman Allah (swt) dalam surah Al-Taubah ayat 111 (maksudnya):
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-oran yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.
Ini bermakna seorang muslim telah menjadikan dunianya sebagai wakafan untuk dakwahnya, semata-mata untuk memperolehi kesenangan di akhirat nanti sebagai ganjaran kepada segala pengorbanannya.
Atas dasar inilah, seorang penakluk muslim bertindak sebagai guru yang memiliki segala sifat yang sepatutnya dimiliki oleh seorang guru iaitu cahaya, hidayat, rahmat dan ihsan. Membimbing dan mendidik serta membina tamadun dan peradaban.
5) Adakah umat Islam hari ini sedar dan memahami matlamat besar lagi suci ini?
Jika ya, bebas dan merdekalah lah jiwa dan roh mereka daripada kehambaan dunia. Bersih daripada kongkongan syahwat dan hawa nafsu. Tidak terlibat dengan soal yang remeh temeh dan matlamat yang terlalu remeh.
Mereka kerahkan seluruh jiwa mereka untuk Allah (swt) dengan penuh ikhlas serta mahu memartabatkan kalimah Allah (swt) dan berjuang di jalanNya.
Mereka berusaha mengembangkan agamaNya dan mempertahankan syariatNya.
Wahai saudaraku, baca dan fahamilah ia !!!.
Selasa, 29 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan