Blog ini dibangunkan dengan niat untuk menjadikannya medan penulisan dan perkongsian bahan-bahan tarbiyyah termasuklah penulisan tentang pengalaman hidup, nasihat-nasihat, panduan-panduan berguna dan perbincangan isu-isu semasa buat manafaat diri sendiri, isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang boleh mencapainya. Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah saya yang diterima Allah sebagai amal soleh.

Selasa, 29 Disember 2009

Seusai Forum Maal Hijrah 1431H ...Terima Kasih Semua

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah, selesai sudah program Forum Maal Hijrah 1431H yang berlangsung malam semalam (6 Muharram 1431H) di restoran Sri Mutiara, Riyadh. Saya anggarkan kehadiran sekitar 70-80 orang. Ramai juga yang datang awal dan membantu persiapan. Program forum tersebut terpaksa dimulakan lewat sikit (sekitar jam 8.15pm) kerana terpaksa menunggu Syeikh Yusof Al-Mugrin dan telah ditamatkan lebih kurang jam 10.30pm (30 minit lewat dari sasaran awal) sebelum upacara seterusnya - santapan makan malam.

Perjalanan forum amat memuaskan (pada pandangan saya) dengan berkat usaha gigih semua pihak terutamanya moderator (Sdr. Arif)yang bertindak cemerlang menjadi 'all in one'; pengacara, penterjemah dan pengawal masa. Ramai yang belum mengenali Sdr. Arif kerana ramai yang bertanya pada saya siapa tu moderator?. Untuk makluman beliau adalah pelajar Malaysia yang sedang buat master kat KSU. Maaflah kerana tiada hadiah disediakan untuk Sdr. Arif, mudah-mudahan Allah mengganjarinya dengan pahala seluas bandar Riyadh!!!.

Perbahasan tentang topik Hati ni nampaknya sangat menarik dengan Syeikh Yusof cuba menggambarkan hati manusia yang suci semasa dilahirkan seperti gelas yang berisi air mineral (beliau mengambil gelas dan mengisi gelas tersebut dengan air mineral) - benar jelas nampak air dalam gelas tersebut jernih, suci, bersih dan bersinar. Kemudian beliau mencampurkan air teh ke dalam gelas tersebut. Air teh diumpamakan amalan maksiat, jelas sekali kelihatan air dalam gelas mula bertukar warna dan akhirnya menjadi pekat umpama hati yang kotor dipenuhi maksiat. Untuk menjernihkan semula hati tersebut terpaksalah dicampurkan semula dengan air mineral (umpama amal soleh) yang akhirnya jika berterusan akan kembali jernih. Syeikh juga mengatakan hati yang mati umpama gelas yang tertungkup (terbalik). Beliau sekali lagi membuat demo supaya jelas kelihatan perumpamaan tersebut. Kalau gelas yang tertungkup itu dicurahkan dengan air, air tidak akan masuk. Begitulah dengan hati yang mati, jikapun diberikan begitu banyak nasihat, ia tidak akan berkesan.

Penyampaian Prof. Zahedi juga amat menarik (siap dengan presentation power point) penuh dengan fakta-fakta di sudut sains, medical, psaikologi dan adat kebiasaan. Sedikit kesimpulan di akhir presentationnya membuahkan perbincangan yang lebih menarik. Adakah seketul daging (flesh) sebagai mana yang dikatakan sebagai hati dalam Hadith Ar-Rasul itu adalah jantung, akal atau lever/hepar? . Bab ini akan ditulis perinciannya kemudian untuk tatapan/manafaat orang yang tidak dapat hadir - insyaallah jika Allah memberikan kekuatan pada saya.

Program forum ini telah divediokan oleh Sdr. Rizal, saya doakan Rizal dapat forwardkan rakaman tersebut kepada kita nanti.

Bagi pihak urusetia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang turut bersama menjayakan program forum ini sama ada secara langsung atau tidak dari awal sampailah akhir. Terutamanya kepada;

1) Al-fadhil ustaz Hassan, isteri-isteri, anak-anak dan seluruh pekerja restoran Sri Mutiara.
2) Rakan-rakan urusetia yang terdiri daripada mereka yang menghadiri kuliah ustaz Hassan pada pagi Jumaat di restoran Sri Mutiara. (Terlalu ramai jika nak disebutkan semua nama-nama mereka).
3) Panel-panel forum: Syeikh Yusof Al-Mugrin, Prof. Zahedi dan seorang penterjemah Arab-English yang turut dijemput(lupa pulak namanya).
4) Saudara Arif yang terpaksa ditangkap muat untuk menjadi moderator yang telah bertindak dengan begitu cemerlang.
5) Wakil-wakil dari pejabat kedutaan Malaysia, di Riyadh.
6) Saudara Nasir yang gigih menyiapkan keperluan audio-visual, microfon, projector, skrin layar, presentation power point, set tv kat luar yang akhirnya tak digunakan.
7) Saudara Khairul yang turut membantu pengendalian komputer semasa forum dijalankan.
8) Saudara Rizal yang telah merakamkan perjalanan forum ini.
9) Saudara Azman dan beberapa kawan yang datang awal (maaf tak ingat nama mereka) dan turut membantu persiapan/penyusunan kerusi meja.
10) Dr. Mahmood, Dr. Abdullah serta isteri-isteri masing-masing yang telah berusaha mencari dan menyiapkan hadiah untuk penceramah.
11) Dr. Engku Ngah yang telah menjadi rappotuer - Saya belum sempat tengok lagi catatannya dan akan cuba disiarkan nanti.
12) Haji Firdaus yang telah bertindak menjadi juru gambar. Harap-harap beliau akan forwardkan gambar-gambar tersebut kepada kita.
13) Penderma kambing yang saya tak tahu siapa dia. Semoga Allah mengasihi dia.
14) Penderma-penderma yang telah menyumbangkan wang ringit. Semoga Allah melipat gandakan rezeki mereka.
15) Peserta-peserta, hadirin hadirat yang hadir dan memberikan sokongan dan juga kepada mereka yang tak dapat hadir tapi mendoakan kejayaan program ini seperti Sdr. Muhammad Tunggul di mana isterinya menjalani pembedahan hidung- semoga selamat sejahtera, Sdr. Azmi yang pergi ke Dammam dan Prof. Fakhrul yang berkunjung ke Madinah.
16) Ramai lagi yang mungkin saya terlupa untuk meyebut nama-mereka- maaflah.

Saya juga bagi pihak urusetia meminta maaf atas segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang penganjuran forum ini. Saya persilakan tuan-tuan, puan-puan untuk memberikan komen atau muhasabah supaya program-program akan datang dapat dijayakan dengan lebih baik.

Satu kepuasan telah dirasai oleh saya walaupun keletihan masih terasa. Semoga Allah merahmati kita semua.

Wassalam.

Jom kita bincang tentang 'Hati'

Rasullullah s.a.w bersabda:

....ketahuilah bahawa di dalam tubuh (manusia) terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Maka ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati. Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Hadith ini adalah hadith sahih.

Rasullullah s.a.w menyebut dengan jelas tentang wujudnya seketul daging (in English disebut flesh dan dalam matan arab disebut mudghah) dalam tubuh kita...maknanya ia wujud secara fizikal dan disebut pula daging tersebut adalah hati (dalam bahasa Melayu), heart (in English) atau Al-Qalb (dalam bahasa Arab).

Dalam istilah sains, medical atau anatomy - hati dipanggil hepar, heart pula adalah jantung dan hati yang disebut dalam bahasa Melayu itu tidak wujud secara fizikal melainkan adanya elemen psychology atau intuition yang dikaitkan dengan otak.

Jadi ada 3 persoalan di sini sama ada hati yang disebutkan dalam hadis tersebut itu adalah hepar, jantung atau otak?

Ketiga-tiga organ ini dalam badan manusia sangat penting kerana salah satunya 'out' atau malfunction maka keseluruhan badan tidak akan berfungsi dan ini selari dengan apa yang dijelaskan oleh Rasullullah s.a.w itu...jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh.

Jika otak tidak berfungsi - maka orang itu disahkan mati.
Jika jantung tidak berfungsi - maka orang itu dalam stage menghadapi mati. Belum mati sehingga disahkan otaknya mati.
Jika hepar tak berfungsi - maka sistem metabolism dalam badan akan terganggu termasuk sistem deposit lemak akan bermasalah. Jika sangat kritikal hepar boleh diganti itupun jika ada orang yang ingin mendermakan hatinya dan hepar ini boleh berkembang dan berfungsi semula dengan baik.

Mengikut kepentingan organ kepada kesihatan badan maka kita boleh kata yang paling penting ialah otak diikuti jantung dan kemudiannya hepar (hati). Jadi apakah maksud sebenar seketul daging yang disebutkan oleh Rasullullah itu?

Atau...hati itu dirujuk sebagai hati maknawi...namun begitu Rasullullah s.a.w dengan jelas menyebutnya sebagai seketul daging yang wujud secara fizikal?

Jom kita bincangkannya....


Dr. Ibrahim
KSU, Riyadh

Kelas Bahasa Arab di Badiah...

Seperti biasa, hari Jumaat lepas saya menghadiri kelas bahasa Arab di Badiah yang terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dengan kereta dari rumah saya di Umm Al-Hamam, Riyadh.

Hiwar (perbualan) hari ini berkenaan penyakit dan macam biasa Syeikh Hassan bersyarah panjang tentang penyakit. Beliau juga mengajar tentang adab-adab dan doa ketika menziarahi orang sakit.

Apabila kita berjumpa orang biasanya kita akan tanya khabarnya dan sebut (dalam bahasa arab):

'Kaifahaluka?' (maaf saya tak boleh nak tulis matan jawinya). Bahasa ammiyahnya: 'Hallak?'. di Saudi ni kalau kita rapat dengan orang tu dan boleh melawak dengannya kita akan kata 'Ishlaunak?'
(Ishlaunak maksudnya apa warna kamu?).

maka kita jawablah (walaupun kita tak sihat): 'Alhamdulillah ana bikhair' atau 'toiyyib ala ma yuram (Baik, OK je) atau dalam bahasa pasarnya; 'Qais miyah miyah' (baik 100%).

Jika kita jumpa orang tu tak sihat maka kita doakannya sekurang-kurangnya kata 'SyafakaAllah' (maksudnya mudah-mudahan Allah menyembuhkan anda)

Syeikh Hassan tanya pada kami; apa makna 'IshfakaAllah'. Tak ada siapa yang tahu...syeikh ulang lagi dan kali ini dia kata; ini soalan kuiz, siapa dapat jawab dia akan bagi 10 riyal....ramai yang meneka. Tak seorangpun yang betul. Dengan confidennya syeikh naikkan lagi hadiah jadi 20 riyal...macam-macam jawapan diberi namun tiada yang betul. Syeikh bertambah confiden; tentunya tak ada yang tahu makna ucapan ini. Dia naikkan lagi nilai hadiahnya menjadi 30 riyal...teka lagi kami. Tak betul juga. Syeikh kata cukuplah....gerentinya tiada yang tahu.

Tiba-tiba kawan saya yang duduk di belakang saya (seorang rakyat Senegal) yang hanya duduk diam saja dari tadi angkat tangan...Nanti dulu syeikh, saya nak cuba jawab!. Syeikh kata; betul ke anta tahu...syeikh masih confiden dia mestinya tak tahu. kawan tu bukannya antara pelajar bijak dalam kelas kami. Dia banyak diam dari bercakap.

Dengan terketar-ketar kawan saya jawab 'Ishfakallah tu maksudnya...mudah-mudahan Allah matikan kamu'

'Sahih!!!' Syeikh kata. Kami semua tergamam. MasyaAllah....saya tanya dia mana kamu tahu? Dia kata saya teka je, kadang-kadang kita kena fikir secara terbalik. Saya takut nak jawab, katanya. MasyaAllah, MasyaAllah. ....

Syeikh bagi dia 30 riyal. .....

Sekian cerita kali ini. Semoga beberapa kalimah dipelajari antaranya:

1) 'Kaifahalak?'
2) 'hallak?'
3) 'Ishlaunak?'
4) 'Alhamdulillah ana bikhair'
5) 'Toyyib ala ma yuram'
6) 'Qais miya miya'
7) 'SyafakaAllah'
8) 'IshfakaAllah' - jangan guna perkataan ini. hanya untuk pengetahuan sahaja.
9) 'Sahih'

Waillalliqa'....

Dr. Ibrahim
KSU, Riyadh

P/s: Catatan ini turut dihantar ke ruangan Forum EXSISTA kelolaan Sdr. Lokman Daud.

Ustazah Arfah & Ustaz Hamid ; Juga Guru Bahasa Arab Saya...

Assalamualaikum,

Ustazah Arfah selalu dalam ingatan saya lebih-lebih lagi bila saya duduk di Saudi sekarang.

Sebenarnya saya juga terkenangkan ustaz-ustazah lain yang pernah mengajar Bahasa Arab kepada saya termasuklah arwah Ustaz Othman Baijuri (OBJ), Ustaz Darwis, Ustaz Hamzah dan Ustaz Hamid. Apa taknya merekalah yang menjadi inspirasi dan orang-orang yang mula mengajar saya berbahasa arab semasa di Izzuddin dulu. Kini selalu saya bandingkan pengajaran mereka dengan guru-guru bahasa arab saya di sini; Syeikh Abdullah Amri, Syeikh Turki, Syeikh Addah Sudani dan Syeikh Saad Al-ghomidhi.

Ustazah Arpah adalah ustazah Bahasa Arab yang sangat istimewa. Pengajarannya mudah difahami terutamanya bab Mulahadzah, Hiwar dan Qawaid. Kelas saya (mungkin satu batch juga) sampai buat lagu tentang Ad-domair: Hua, huma, hom. Hia, huma, hunna. Anta, antuma, antum. Anti, antuma, antunna. Ana, nahnu. Saudara Karim, Harith Fadhilah dan Zaki Amin lah rasanya yang mencipta lagu domair ni. Sambil berlagu, sambil ketuk gendang (ketuk meja) sambil hafal domair. Riuh-rendah satu kelas waktu prep, sampai warden datang check...

Saya juga masih ingat bagaimana ustazah Arfah mengajar insyak dan ajar cara nak tulis surat (warakhah) rasmi dan tak rasmi. Ustazah suruh hafal muqqadimahnya; Ila akhil mukhtaram, arsalu ilaikum hazihi waraqah ainama kuntu fis sihhatin jaiyidah....panjang lagi. Hafazan ini membuatkan saya skor A1 Bahasa Arab SRP tahun 1983.

Jazakillah ustazah. saya doakan ustazah sihat dan dirahmati Allah.

Saya juga banyak kenangan tentang ustaz Hamid, beliaulah yang mengajar khat. Khat nasah, rakaah, thulus, diwani dan khufi. Kini saya boleh menulis khat nasah dan rakaah dengan baik, yang lain-lain tu tak berapa jadi. Khat ustaz Hamid sangat cantik. Arab kata halooo jamillllllllah.

Ustaz Hamid menggunakan kapur tulis yang dipotong runcing pada hujungnya apabila beliau menulis khat atas papan hitam. Saya antara murid yang kerap disuruh oleh ustaz pergi ambil kapur berwarna-warni kat pejabat sekolah untuk kelas khat.

Beliau juga yang menulis khat dengan cantik atas sepanduk perayaan maulidur rasul peringkat daerah Ipoh yang mana kami ramai-ramai pergi berarak keliling bandar Ipoh waktu tu sekitar tahun 81-83.

Ustaz jugalah yang mengusahakan pemakaian sampin batik hijau sekitar tahun 1980an yang ditempah khas dari Kelantan - negeri asal ustaz (kalau saya tak silap).

Sedihnya bila tahu ustaz terlantar sakit. Kalau saya ada di Malaysia, mahu saya ziarahi dia. Insyaallah kalau saya jadi ke Madinah minggu ni, saya akan doakan ustaz kat raudhah.

Kepada Sdr. Lokman, kalau ada gambar terkini ustaz dan ustazah tolonglah forwardkan kepada saya. Saya sangat merindui mereka. Mereka adalah sumber inspirasi saya!

Dr. Ibrahim
KSU, Riyadh.

Ustaz Darwis; Juga Guru Bahasa Arabku...

Saya teringatkan Ustaz Darwis yang amat dikasihi semasa saya belajar di Sekolah Menengah Izzuddin Shah (SIS) sekitar tahun 1981-1983.

Saya terhutang budi dengannya kerana dari beliaulah saya mula bertatih belajar bahasa Arab dan saya sangat minat dengan bahasa tu. Kerana bahasa itu dan kerana Ustaz Darwis yang mula mengajar saya bahasa itu (dengan izin Allah) saya servive hari ini untuk hidup di negara orang yang bercakap bahasa tu....

Saya doakan Ustaz Darwis sihat dan dilimpahi Rahmat Allah.

Teringat suatu hari ustaz buat kuiz tentang mufradat. Siapa dapat jawab dapat hadiah katanya....

Ustaz tanya... perkataan kipas angin dalam bahasa arab apa dia? Saya tahu lantas angkat tangan untuk jawab... Mirwahatun ya ustaz!.

Sah kata ustaz!. Mirwahatun maknanya kipas angin.

Seronoknya... saya orang pertama dapat hadiah. Ustaz jemput ke depan kelas, dia beri hadiah. Sekeping tiket...terkejut saya! Tiket apa?

Oh no!...tiket ke stadium Perak, tengok pertunjukan tarian ballet dan persembahan rakyat...

Sehingga kehari ini saya masih ingat peristiwa tu dan saya benar-benar pergi ke stadium Perak tu bersama pelajar-pelajar lain naik bas sekolah (yang saya ingat, saya bersama Yasin, kawan sekelas saya yang juga dapat menjawab soalan kuiz ustaz). Rupanya setiap kelas diperuntukkan sebanyak 2-3 tiket. Tertanya-tanya saya... macam mana boleh pelajar-pelajar sekolah agama dijemput untuk menghadiri program-program seperti itu. Sehingga kini saya masih tidak faham...tapi buat-buat faham je lah.

Maaflah kalau cerita saya memberikan sedikit gambaran negative tentang ustaz, maksud saya tentang ustaz bagi hadiah tiket tu. Saya tak bermaksud untuk merendahkan ustaz. Saya tahu ustaz adalah orang baik dan mungkin ustaz dapat tiket tu dari pihak sekolah, atau pihak pejabat SUK.

Kepada rakan-rakan SIS yang membaca catatan ini; kirim salam saya pada ustaz, ustaz pastinya tak mengenal saya...tak apalah, ustaz sentiasa dalam doa saya.

Dr. Ibrahim Abu Bakar
King Saud University
Riyadh

P/S: Catatan ini turut dihantar ke Forum EXSISTA kelolaan Sdr. Lokman SIS Batch80-84.

Selamat Tahun Baru 1431H dan Puasa Sunat 'Asura

Selamat menyambut tahun baru kepada semua!!! Semoga amal tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita yang kita lakukan pada tahun-tahun sebelum ini serta menerima semua amal dan doa-doa kita...

Tatapilah tulisan di bawah ini yang dinukilkan oleh Ustaz Arif (pohon izin)...semoga menjadi panduan amal dalam bulan Muharam ini.

Puasa Sunat ‘Asyura

PENDAHULUAN

Allah S.W.T dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding dengan bulan-bulan yang lain agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba- Nya pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di antara bulan yang dianggap istimewa itu adalah bulan Muharram yang merupakan bulan yang pertama dalam kalendar hijrah dan ia juga merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram yang penuh berkat.

Firman-Nya dalam Surah At-Taubah, Ayat 36:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) ; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”

Menerusi firman-Nya “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)” ia menunjukkan bahawa pada bulan-bulan haram yang mana Muharram adalah salah satu darinya kita dilarang dari melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang kerana dosa melakukan kemungkaran pada bulan-bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah S.W.T. berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Namun begitu bagi mereka yang melakukan amal-amal yang soleh ganjaran pahalanya juga adalah lebih tinggi berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

“Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Kita telah sampai ke dalam bulan Muharram. Bulan awal yang mulia ini adalah bulan pertama di dalam Kalendar Hijriah. Seperti yang kita sedia kita maklum, di dalam bulan Muharram inilah ada hari yang telah disunatkan kepada kita untuk berpuasa iaitu puasa hari ‘Asyura. Malah, ada petunjuk dari Rasulullah juga memberi galakan untuk berpuasa pada hari kesembilan Muharram.

KELEBIHAN

Daripada Abu Hurairah Radiyallahu’anh berkata : bahawa Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam bersabda : “Seafdal-afdal puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat pada malam hari”. Di dalam riwayat yang lain “Solat di sepertiga malam”

[Riwayat Muslim no.2812 dan 2813]

GALAKAN BERPUASA ‘ASYURA’

Daripada Abu Qatadah Radiyallahu’anh bahawa Rasulullah ditanya akan puasa hari ‘Asyura. Maka sabdanya : “ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. Didalam riwayat yang lain “..adapun puasa pada hari ‘Asyura menghapuskan dosa tahun sebelumnya”.

[Riwayat Muslim no. 2803 dan 2804]

Hadith diatas jelas merupakan anjuran Rasulullah kepada umatnya agar berpuasa pada hari kesepuluh di dalam bulan Allah Muharram. Ini dijelaskan pada akan terhapusnya dosa setahun yang lalu iaitu dosa-dosa yang kecil. Majoriti ulama menyatakan bahawa dosa-dosa besar tidak dapat dihapuskan dosanya melainkan dengan bertaubat kepada Allah Ta’ala dan menegakkan hukum hudud terlebih dahulu bagi pesalah yang thabit didalam undang-undang Islam.

HIKMAH PUASA ‘ASYURA’

Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba di Madinah, beliau mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa ‘’Asyura. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya, “Hari apa yang kamu berpuasa ini?” Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu pula Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam keadaan bersyukur, maka kami pun mengikuti beliau berpuasa pada hari ini.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas berkata, “Kita seharusnya lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.” Lalu setelah itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.

[HR. al-Bukhari no.2004 dan Muslim no. 2714]

Hadith tersebut di atas menunjukkan kepada kita betapa Rasulullah mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi Musa kerana merasakan umatnya lebih berhak untuk meluahkan rasa kesyukuran seperti yang berlaku kepada Nabi Musa yang selamat dari ancaman Fir’aun.

Antara hikmahnya ialah membezakan umat Nabi Muhammad dari orang Yahudi. Ini kerana ada hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang menjelaskan bahawa orang Yahudi menjadikan hari 10 Muharram ini sebagai satu perayaan, tetapi umat Islam menjadikan hari ini untuk berpuasa. Ini merupakan perbezaan yang sering baginda lakukan dan kita akan lihat beberapa perbezaan yang Nabi anjurkan kepada umatnya.

DISUNATKAN PUASA PADA 9 MUHARRAM

Daripada Ibn Abbas Radiyallahu’anhuma bahawa Rasulullah ketika berpuasa pada hari ‘Asyura dan mengalakkan untuk berpuasa, para sahabat bertanya : “Ya Rasulullah, sesungguhnya hari tersebut (’Asyura) merupakan hari ini adalah hari yang diagung-agungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Kemudian baginda bersabda : jika tiba tahun berikutnya – insyaAllah – kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan”.

Ibn Abas berkata “Belum sampai tahun depan, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sudah meninggal dunia.”

(HR. Muslim no. 2722)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi Sallallahu’alalihiwasallam bersabda:

“jika ada kesempatan ke tahun akan datang, aku akan berpuasa pada hari kesembilan”.

(HR. Muslim no.2723)

Ini menunjukkan kesungguhan baginda ingin berpuasa tetapi tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, para ulama bersetuju untuk menyatakan ini menunjukkan betapa Nabi Muhammad Sallallahua’alaihiwasallam ingin melakukan perbezaan daripada amalan ahli kitab. Ini juga dijelaskan oleh satu athar daripada Ibnu Abbas :

“Berpuasalah pada hari kesembilan dan kesepuluh, dan bezakanlah (dari meniru) Yahudi”

[HR. Al-Baihaqi no.8665]

Ini disokong dengan banyaknya hadith yang menegah kita meniru orang-orang kafir.

KESIMPULAN

Setelah dinyatakan sunat berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh, sebahagian ulama membahagikan martabat puasa di dalam bulan ini. Antaranya Syeikh Abdullah Soleh AlFauzan mengatakan puasa di dalam Muharram terdapat beberapa peringkat iaitu :

Pertama : Berpuasa pada 9,10 dan 11 Muharram. Ini berpandukan dari nukilan Imam Ahmad [AlMughni 4/441, Iqtidaus Siratul Mustaqim 1/419]

Kedua : Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini seperti yang dijelaskan di dalam artikel ini.

Ketiga : Berpuasa 9 dan 10 atau 11 Muharram. Ini berpandukan dari satu athar yang dhoif dari Ibn Abbas.

Keempat : Hanya melaksanakan puasa 10 Muharram. Ini menjadi perselisihan para ulama akan makruhnya dengan hanya berpuasa pada hari 10 Muharram. Dan yang paling jelas, ia makruh kepada sesiapa yang mampu untuk mengumpulkan hari ke 9 dan 10 dan tidak hanya berpuasa pada hari ke 10 sahaja.

Wallahua’lam

[Risalah Ahadith Syahrillah AlMuharram ms 13]
Muhd Arif Yoges
Design Engineer
ISSES TECHNOLOGY (M) SDN BHD
Tel: 603-6028 4188 (Hunting line)
Fax: 603-6028 4199
Mobile: +6019-388 0257
Company Email: isses@tm.net. my
Website: www.isses-tech. com

Temuduga MRSM Tahfiz Kota Seputih, Terengganu pada 21/12/2009

Kepada anakku Hajah Alya Audah Al-Himmah, ayah nak bagi sikit tips untuk menghadiri temuduga tersebut.

(1). Bangun awal pagi, baca doa selepas bangun tidur, gosok gigi, wuduk, solat dan baca doa selepas solat.

(2). Mandi supaya segar dan pakai pakaian yang terbaik yang Alya ada. Pakaian dan penampilan sewaktu temuduga amat penting untuk menunjukkan keyakinan dan wibawa diri. Pakailah pakaian wanita muslimah yang benar-benar menurut syariat. Labuhkan tudung dan sekali-kali jangan 'over'. Bab ini Alya dah OK ayah rasa!, Pass!, Excellent!.

(3). Jangan lupa sarapan pagi. Jika tak sempat, bawa sedikit biskut untuk dimakan dalam perjalanan atau di tempat temuduga. Sarapan pagi sangat penting sebelum temuduga supaya kita ada tenaga yang cukup untuk berjuang.

(4). Datang awal ke tempat temuduga. Biarlah awal setengah jam dan kita tunggu sambil menenangkan diri.

(5). Sentiasa tenang dan senyum pada hari temuduga. Lupakan kesusahan yang dialami dan jauhi rasa susah hati dan muram. Sesekali jangan bermuka masam. Senyum...senyum...senyum!, walaupun kita sahaja yang tahu yang kita punyai banyak masalah dan tekanan yang dihadapi sebelum ini.

(6). Masuk ke bilik temuduga apabila dipanggil oleh kerani yang menjaga pintu bilik tu, eloklah beri salam dan kalau perlu, ketuk pintu dulu (jangan terlalu kuat ketuk pintu tu) dan minta izin untuk masuk.

(7). Berjalan ke meja penemuduga (atau ke kerusi khusus yang disediakan) dengan penuh keyakinan dan berilah salam sekali lagi sambil senyum. Duduk di kerusi yang disediakan selepas dijemput duduk. Jika tak dijemput berdiri saja dulu.

(8). Duduklah dengan sopan, betulkan kedudukan biar selesa. jangan duduk dalam keadaan 'senget' kerana gaya kita sentiasa diperhatikan dan ia juga menggambarkan keyakinan diri kita.

(9). Perkenalkan diri apabila disuruh oleh penemuduga dan jawablah dengan penuh keyakinan dan sopan kepada semua soalan yang diajukan. Anggukkan kepala secara sederhana apabila mendengan penerangan atau apa-apa kata nasihat oleh penemuduga. Ingat, gaya badan amat penting ketika ini kerana kita sentiasa diperhatikan oleh penemuduga. Jangan sekali-kali bercakap bohong. Akui sahaja jika kita benar-benar tidak tahu kepada soalan yang ditanya. Minta maaf jika perlu. Jangan sekali-kali berdiam diri atau takut untuk bercakap.

(10). Jika diberi peluang untuk berkata-kata untuk kali terakhir sebelum temuduga selesai, cakaplah dengan jujur dengan penuh pengharapan supaya penemuduga meluluskan permohonan kita atau memilih kita dan nyatakan kenapa kita benar-benar mahukan tempat belajar tersebut.

(11). Selepas selesai temuduga dan penemuduga kata boleh keluar, berdirilah dan berjalan keluar dengan sopan. Jangan lupa ucapkan terima kasih dan ucap salam kepada semua penemuduga.

(12). Jangan sekali-kali menjerit atau bermuram durja selepas keluar dari bilik temuduga. Tenangkan diri dan berdoalah supaya Allah membantu dan memberikan keputusan yang baik untuk kita. Yakinlah yang Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan biarlah dia berikan yang terbaik untuk kita. Jika kawan-kawan atau ahli keluarga bertanya tentang bagaimana keadaan temuduga yang dilalui, jawablah dengan baik dan penuh sopan serta mintalah mereka mendoakan juga kejayaan kita.

OK wahai Hajah Alya Audah Al-Himmah, Inilah sedikit panduan untuk anakku dari ayahmu!..... Panduan inilah juga yang ayah guna setiap kali ayah menghadiri temuduga. Dah banyak dah temuduga yang ayah lalui sebelum ini. Banyak juga temuduga yang ayah berjaya - Alhamdulillah, dan ada juga yang gagal - Alhamdulillah.

Selamat berjuang!!!...