Blog ini dibangunkan dengan niat untuk menjadikannya medan penulisan dan perkongsian bahan-bahan tarbiyyah termasuklah penulisan tentang pengalaman hidup, nasihat-nasihat, panduan-panduan berguna dan perbincangan isu-isu semasa buat manafaat diri sendiri, isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang boleh mencapainya. Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah saya yang diterima Allah sebagai amal soleh.

Selasa, 12 Januari 2010

Ad-dinul Islam (Siri Fikrah Islam-1a)

Saudara-saudaraku,

Dalam tulisan yang lepas, saya ada merujuk kepada firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 256, Surah Al-Baqarah tentang Allah tidak memaksa manusia memilih agama Islam atau kita tidak boleh memaksa seseorang itu menganut agama Islam...

Ya, memang benar Allah s.w.t. tidak memaksa manusia memilih agama Islam sebagai panduan hidup mereka tetapi bukankah Allah s.w.t. juga memberitahu kita bahawa makhluk-makhluk ciptaanNya (selain manusia dan jin/Iblis) di langit dan di bumi semuanya telah mengikut agama Islam. Mereka mengikut secara sukarela mahupun secara terpaksa. Lihat sahaja firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 83 surah Ali-Imran (maksudnya):

...Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNyalah berserah diri segala apa yang berada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.

Lagi firman Allah pada ayat ke 84, surah Ali-Imran (maksudnya):

...Katakanlah: 'kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorangpun di antara mereka dan hanya kepadaNyalah kami menyerah diri' (ayat 84).

Ayat di atas juga menunjukkan bahawa agama Islam adalah pilihan rasullullah serta rasul dan umat-umat terdahulu. Maka kenapa pula kita tidak mahu mengikut mereka?

Firman Allah s.w.t. lagi dalam ayat ke 85, surah Ali-Imran (maksudnya):

...Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Daripada ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa agama selain Ad-dinul Islam adalah ditolak dan mereka yang tidak menganut agama Islam akan rugi di akhirat nanti.

Maka, pilihlah agama Islam, walaupun kita sebagai manusia ini tidak dipaksa untuk memilih agama tersebut sebagaimana makhluk-makhluk Allah yang lain yang berada di langit dan di bumi. Janganlah diragui lagi...Islam adalah ad-din, panduan hidup kita di atas bumi ini.


Dr. Ibrahim Abu Bakar
KSU, Riyadh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan