Blog ini dibangunkan dengan niat untuk menjadikannya medan penulisan dan perkongsian bahan-bahan tarbiyyah termasuklah penulisan tentang pengalaman hidup, nasihat-nasihat, panduan-panduan berguna dan perbincangan isu-isu semasa buat manafaat diri sendiri, isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang boleh mencapainya. Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah saya yang diterima Allah sebagai amal soleh.

Selasa, 12 Januari 2010

Ad-dinul Islam (Siri Fikrah Islam-1a)

Saudara-saudaraku,

Dalam tulisan yang lepas, saya ada merujuk kepada firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 256, Surah Al-Baqarah tentang Allah tidak memaksa manusia memilih agama Islam atau kita tidak boleh memaksa seseorang itu menganut agama Islam...

Ya, memang benar Allah s.w.t. tidak memaksa manusia memilih agama Islam sebagai panduan hidup mereka tetapi bukankah Allah s.w.t. juga memberitahu kita bahawa makhluk-makhluk ciptaanNya (selain manusia dan jin/Iblis) di langit dan di bumi semuanya telah mengikut agama Islam. Mereka mengikut secara sukarela mahupun secara terpaksa. Lihat sahaja firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 83 surah Ali-Imran (maksudnya):

...Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNyalah berserah diri segala apa yang berada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.

Lagi firman Allah pada ayat ke 84, surah Ali-Imran (maksudnya):

...Katakanlah: 'kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorangpun di antara mereka dan hanya kepadaNyalah kami menyerah diri' (ayat 84).

Ayat di atas juga menunjukkan bahawa agama Islam adalah pilihan rasullullah serta rasul dan umat-umat terdahulu. Maka kenapa pula kita tidak mahu mengikut mereka?

Firman Allah s.w.t. lagi dalam ayat ke 85, surah Ali-Imran (maksudnya):

...Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Daripada ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa agama selain Ad-dinul Islam adalah ditolak dan mereka yang tidak menganut agama Islam akan rugi di akhirat nanti.

Maka, pilihlah agama Islam, walaupun kita sebagai manusia ini tidak dipaksa untuk memilih agama tersebut sebagaimana makhluk-makhluk Allah yang lain yang berada di langit dan di bumi. Janganlah diragui lagi...Islam adalah ad-din, panduan hidup kita di atas bumi ini.


Dr. Ibrahim Abu Bakar
KSU, Riyadh

Ahad, 10 Januari 2010

Agama Vs Ad-din; Ad-dinul Islam. (Siri Fikrah Islam 1)

Saudaraku,

Akuilah bahawa untuk hidup di dunia ini, kita perlukan panduan (manual hidup). Panduan yang dimaksudkan di sini ialah agama. Dalam bahasa Arab ia disebut 'ad-din'.

Namun begitu, masyarakat kini seringkali menyalahgunakan perkataan agama. Ia sering kali dirujuk kepada beberapa acara keagamaan sahaja yang begitu sempit dan terhad. Oleh itu perkataan agama kurang tepat apabila kita merujuk kepada panduan hidup yang sepatutnya lebih menyeluruh.

Penggunaan perkataan 'ad-din' adalah lebih tepat kerana ia merujuk kepada satu cara hidup yang lebih luas maknanya meliputi keseluruhan hidup ini. 'Ad-din' barulah manual hidup yang sebenar.

Islam adalah 'ad-din'. Ia adalah satu panduan yang merangkumi peraturan-peraturan yang menyeluruh dan undang-undang yang lengkap dalam semua urusan hidup manusia di atas muka bumi ini.

Tiada panduan hidup yang lebih tepat, menyeluruh dan lengkap melainkan ad-dinul Islam. Firman Allah s.w.t. dalam sebahagian ayat ke 19, surah Ali-Imran (maksudnya);

'Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam'. ..

Firman Allah s.w.t juga dalam surah Al-Haj, ayat 78 (maksudnya):

...Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.

Ada manusia yang merasakan mereka tidak memerlukan panduan hidup atau tidak memerlukan agama untuk berada di atas muka bumi ini. Malah Allah juga tidak memaksa manusia memilih ad-dinul Islam. Ini jelas disebut Allah s.w.t dalam ayat ke 256, surah Al-Baqarah (maksudnya):

'Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'.


Rujukan:

(1) Al-Quran dan Terjemahannya
(2) Risalah Usrah; Konsep-konsep Umum Islam

Ahad, 3 Januari 2010

Detik Manis Pertemuan 2 Sahabat pada 010110...Mahal Nilainya






Farid Taib - begitulah nama sahabat saya yang sudah hampir 25 tahun tidak berjumpa. Beliau merupakan sahabat saya semasa di Kolej Islam Kelang (KIK) dari tahun 1984-1985. Kami belajar dalam kelas yang sama iaitu di 5 Sains 1. Beliau berasal dari Pulau Pinang, bersekolah tingkatan 1-3 di Al-Irsyad, Pulau Pinang dan seingat saya beliau merupakan antara pelajar pintar dalam kelas kami. Selalunya saya kalah dengan beliau dalam banyak mata pelajaran.

Seusai belajar di KIK, masing-masing membawa diri; saya ke Kolej Pengajian Persediaan (KPP)untuk ke French manakala Farid juga ke KPP tapi untuk Program ke USA. Kami tinggal di kampus yang berbeza; saya di sesyen 17, PJ manakala Farid di Seksyen 17, Shah Alam. Selepas itu kami tidak berjumpa lagi sehinggalah dalam bulan Disember 2009, apabila secara tidak sengaja, kami berjumpa semula di alam maya Facebook. SubhanaAllah...begitulah kuasa Allah yang boleh memisahkan dan mempertemukan antara sesama manusia.

1 Januari 2010 (Jumaat) yang lepas merupakan detik manis dalam hidup saya di mana saya bertemu semula Farid secara nyata. Manisnya detik ini kerana kami bertemu di Madinah. Suatu tempat mulia lagi suci sesuci persahabatan ini...Kami berpelukan erat, lama sekali...Farid kata; mahal sungguh pertemuan ini. Ya...begitu mahal. Apa taknya kami berjumpa di Madinah yang besar perbelanjaannya untuk ke sana apatah lagi kami berjumpa di hotel Al-Ansar Azzahabiyyah. Kalau diterjemahkan perkataan zahabiyyah itu ke Bahasa Malaysia ia bermakna emas. 'Hotel Emas'Al-Ansar...tentu mahal harganya. Yang betulnya; nilai pertemuan ini sangat mahal.

Farid kelihatan masih macam dulu. Susuk tubuhnya tidak banyak berubah (tak macam saya, huh,huh sedihnya), wajahnya juga masih ceria sama seperti dulu. Yang saya sangat perasan, cara dia bercakap masih sama seperti dulu; laju dan cukup peramah. Orang Pulau Pinanglah katakan...Bahasa Arabnya masih boleh tahan. Mabruk Farid!!! Ini hasil tarbiyyah di Irsyad ni bukan di KIK kerana di KIK kami belajar bahasa arab secara minima (secara tak formal saja rasanya).

Farid kini mempunyai seorang isteri dan tiga anak. Anaknya yang sulung (perempuan,12 tahun)sedang menunggu keputusan interview untuk ke MRSM Tahfiz, Gemencih. Saya juga mempunyai anak sulung perempuan, berusia 12 tahun yang juga sedang menunggu keputusan untuk ke MRSM Tahfiz tapi di Kota Putera, Terengganu. Beliau bertugas di sebuah syarikat di Chemor (dekat Ipoh) sebagai seorang jurutera dan berulang alih pada hujung minggu ke rumahnya di Pulau Pinang.

Tidak puas rasanya bersembang di lobi hotel (waktu tu jam menunjukkan lebih kurang pukul 7.00 pagi di mana kami mula bertemu sebaik selesai sahaja solat subuh di masjid Nabawi dan hari itu Farid pastinya mempunyai jadual ziarah yang sangat padat). Saya mengambil keputusan untuk mengikut Farid menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah dengan menaiki bas rombongannya yang diuruskan oleh Syarikat Andalusia. Sambil melawat, sambil bersembang mengenang kisah silam.

Kami berpisah lebih kurang jam 10.30 pagi sebaik sahaja selesai ziarah. Banyak cerita telah dikongsi bersama dan kami akhirnya berpelukan lagi sebelum berpisah dan saya sempat bertanya Farid; Enta ikut usrah lagi ke?...soalan cepu emas tu!!! jawapannya tentu mahal...semahal nilai pertemuan ini.

Dr. Ibrahim Abu Bakar
KSU, Riyadh

Selasa, 29 Disember 2009

Seusai Forum Maal Hijrah 1431H ...Terima Kasih Semua

Assalamualaikum semua,

Alhamdulillah, selesai sudah program Forum Maal Hijrah 1431H yang berlangsung malam semalam (6 Muharram 1431H) di restoran Sri Mutiara, Riyadh. Saya anggarkan kehadiran sekitar 70-80 orang. Ramai juga yang datang awal dan membantu persiapan. Program forum tersebut terpaksa dimulakan lewat sikit (sekitar jam 8.15pm) kerana terpaksa menunggu Syeikh Yusof Al-Mugrin dan telah ditamatkan lebih kurang jam 10.30pm (30 minit lewat dari sasaran awal) sebelum upacara seterusnya - santapan makan malam.

Perjalanan forum amat memuaskan (pada pandangan saya) dengan berkat usaha gigih semua pihak terutamanya moderator (Sdr. Arif)yang bertindak cemerlang menjadi 'all in one'; pengacara, penterjemah dan pengawal masa. Ramai yang belum mengenali Sdr. Arif kerana ramai yang bertanya pada saya siapa tu moderator?. Untuk makluman beliau adalah pelajar Malaysia yang sedang buat master kat KSU. Maaflah kerana tiada hadiah disediakan untuk Sdr. Arif, mudah-mudahan Allah mengganjarinya dengan pahala seluas bandar Riyadh!!!.

Perbahasan tentang topik Hati ni nampaknya sangat menarik dengan Syeikh Yusof cuba menggambarkan hati manusia yang suci semasa dilahirkan seperti gelas yang berisi air mineral (beliau mengambil gelas dan mengisi gelas tersebut dengan air mineral) - benar jelas nampak air dalam gelas tersebut jernih, suci, bersih dan bersinar. Kemudian beliau mencampurkan air teh ke dalam gelas tersebut. Air teh diumpamakan amalan maksiat, jelas sekali kelihatan air dalam gelas mula bertukar warna dan akhirnya menjadi pekat umpama hati yang kotor dipenuhi maksiat. Untuk menjernihkan semula hati tersebut terpaksalah dicampurkan semula dengan air mineral (umpama amal soleh) yang akhirnya jika berterusan akan kembali jernih. Syeikh juga mengatakan hati yang mati umpama gelas yang tertungkup (terbalik). Beliau sekali lagi membuat demo supaya jelas kelihatan perumpamaan tersebut. Kalau gelas yang tertungkup itu dicurahkan dengan air, air tidak akan masuk. Begitulah dengan hati yang mati, jikapun diberikan begitu banyak nasihat, ia tidak akan berkesan.

Penyampaian Prof. Zahedi juga amat menarik (siap dengan presentation power point) penuh dengan fakta-fakta di sudut sains, medical, psaikologi dan adat kebiasaan. Sedikit kesimpulan di akhir presentationnya membuahkan perbincangan yang lebih menarik. Adakah seketul daging (flesh) sebagai mana yang dikatakan sebagai hati dalam Hadith Ar-Rasul itu adalah jantung, akal atau lever/hepar? . Bab ini akan ditulis perinciannya kemudian untuk tatapan/manafaat orang yang tidak dapat hadir - insyaallah jika Allah memberikan kekuatan pada saya.

Program forum ini telah divediokan oleh Sdr. Rizal, saya doakan Rizal dapat forwardkan rakaman tersebut kepada kita nanti.

Bagi pihak urusetia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang turut bersama menjayakan program forum ini sama ada secara langsung atau tidak dari awal sampailah akhir. Terutamanya kepada;

1) Al-fadhil ustaz Hassan, isteri-isteri, anak-anak dan seluruh pekerja restoran Sri Mutiara.
2) Rakan-rakan urusetia yang terdiri daripada mereka yang menghadiri kuliah ustaz Hassan pada pagi Jumaat di restoran Sri Mutiara. (Terlalu ramai jika nak disebutkan semua nama-nama mereka).
3) Panel-panel forum: Syeikh Yusof Al-Mugrin, Prof. Zahedi dan seorang penterjemah Arab-English yang turut dijemput(lupa pulak namanya).
4) Saudara Arif yang terpaksa ditangkap muat untuk menjadi moderator yang telah bertindak dengan begitu cemerlang.
5) Wakil-wakil dari pejabat kedutaan Malaysia, di Riyadh.
6) Saudara Nasir yang gigih menyiapkan keperluan audio-visual, microfon, projector, skrin layar, presentation power point, set tv kat luar yang akhirnya tak digunakan.
7) Saudara Khairul yang turut membantu pengendalian komputer semasa forum dijalankan.
8) Saudara Rizal yang telah merakamkan perjalanan forum ini.
9) Saudara Azman dan beberapa kawan yang datang awal (maaf tak ingat nama mereka) dan turut membantu persiapan/penyusunan kerusi meja.
10) Dr. Mahmood, Dr. Abdullah serta isteri-isteri masing-masing yang telah berusaha mencari dan menyiapkan hadiah untuk penceramah.
11) Dr. Engku Ngah yang telah menjadi rappotuer - Saya belum sempat tengok lagi catatannya dan akan cuba disiarkan nanti.
12) Haji Firdaus yang telah bertindak menjadi juru gambar. Harap-harap beliau akan forwardkan gambar-gambar tersebut kepada kita.
13) Penderma kambing yang saya tak tahu siapa dia. Semoga Allah mengasihi dia.
14) Penderma-penderma yang telah menyumbangkan wang ringit. Semoga Allah melipat gandakan rezeki mereka.
15) Peserta-peserta, hadirin hadirat yang hadir dan memberikan sokongan dan juga kepada mereka yang tak dapat hadir tapi mendoakan kejayaan program ini seperti Sdr. Muhammad Tunggul di mana isterinya menjalani pembedahan hidung- semoga selamat sejahtera, Sdr. Azmi yang pergi ke Dammam dan Prof. Fakhrul yang berkunjung ke Madinah.
16) Ramai lagi yang mungkin saya terlupa untuk meyebut nama-mereka- maaflah.

Saya juga bagi pihak urusetia meminta maaf atas segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang penganjuran forum ini. Saya persilakan tuan-tuan, puan-puan untuk memberikan komen atau muhasabah supaya program-program akan datang dapat dijayakan dengan lebih baik.

Satu kepuasan telah dirasai oleh saya walaupun keletihan masih terasa. Semoga Allah merahmati kita semua.

Wassalam.

Jom kita bincang tentang 'Hati'

Rasullullah s.a.w bersabda:

....ketahuilah bahawa di dalam tubuh (manusia) terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Maka ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati. Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Hadith ini adalah hadith sahih.

Rasullullah s.a.w menyebut dengan jelas tentang wujudnya seketul daging (in English disebut flesh dan dalam matan arab disebut mudghah) dalam tubuh kita...maknanya ia wujud secara fizikal dan disebut pula daging tersebut adalah hati (dalam bahasa Melayu), heart (in English) atau Al-Qalb (dalam bahasa Arab).

Dalam istilah sains, medical atau anatomy - hati dipanggil hepar, heart pula adalah jantung dan hati yang disebut dalam bahasa Melayu itu tidak wujud secara fizikal melainkan adanya elemen psychology atau intuition yang dikaitkan dengan otak.

Jadi ada 3 persoalan di sini sama ada hati yang disebutkan dalam hadis tersebut itu adalah hepar, jantung atau otak?

Ketiga-tiga organ ini dalam badan manusia sangat penting kerana salah satunya 'out' atau malfunction maka keseluruhan badan tidak akan berfungsi dan ini selari dengan apa yang dijelaskan oleh Rasullullah s.a.w itu...jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh.

Jika otak tidak berfungsi - maka orang itu disahkan mati.
Jika jantung tidak berfungsi - maka orang itu dalam stage menghadapi mati. Belum mati sehingga disahkan otaknya mati.
Jika hepar tak berfungsi - maka sistem metabolism dalam badan akan terganggu termasuk sistem deposit lemak akan bermasalah. Jika sangat kritikal hepar boleh diganti itupun jika ada orang yang ingin mendermakan hatinya dan hepar ini boleh berkembang dan berfungsi semula dengan baik.

Mengikut kepentingan organ kepada kesihatan badan maka kita boleh kata yang paling penting ialah otak diikuti jantung dan kemudiannya hepar (hati). Jadi apakah maksud sebenar seketul daging yang disebutkan oleh Rasullullah itu?

Atau...hati itu dirujuk sebagai hati maknawi...namun begitu Rasullullah s.a.w dengan jelas menyebutnya sebagai seketul daging yang wujud secara fizikal?

Jom kita bincangkannya....


Dr. Ibrahim
KSU, Riyadh

Kelas Bahasa Arab di Badiah...

Seperti biasa, hari Jumaat lepas saya menghadiri kelas bahasa Arab di Badiah yang terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dengan kereta dari rumah saya di Umm Al-Hamam, Riyadh.

Hiwar (perbualan) hari ini berkenaan penyakit dan macam biasa Syeikh Hassan bersyarah panjang tentang penyakit. Beliau juga mengajar tentang adab-adab dan doa ketika menziarahi orang sakit.

Apabila kita berjumpa orang biasanya kita akan tanya khabarnya dan sebut (dalam bahasa arab):

'Kaifahaluka?' (maaf saya tak boleh nak tulis matan jawinya). Bahasa ammiyahnya: 'Hallak?'. di Saudi ni kalau kita rapat dengan orang tu dan boleh melawak dengannya kita akan kata 'Ishlaunak?'
(Ishlaunak maksudnya apa warna kamu?).

maka kita jawablah (walaupun kita tak sihat): 'Alhamdulillah ana bikhair' atau 'toiyyib ala ma yuram (Baik, OK je) atau dalam bahasa pasarnya; 'Qais miyah miyah' (baik 100%).

Jika kita jumpa orang tu tak sihat maka kita doakannya sekurang-kurangnya kata 'SyafakaAllah' (maksudnya mudah-mudahan Allah menyembuhkan anda)

Syeikh Hassan tanya pada kami; apa makna 'IshfakaAllah'. Tak ada siapa yang tahu...syeikh ulang lagi dan kali ini dia kata; ini soalan kuiz, siapa dapat jawab dia akan bagi 10 riyal....ramai yang meneka. Tak seorangpun yang betul. Dengan confidennya syeikh naikkan lagi hadiah jadi 20 riyal...macam-macam jawapan diberi namun tiada yang betul. Syeikh bertambah confiden; tentunya tak ada yang tahu makna ucapan ini. Dia naikkan lagi nilai hadiahnya menjadi 30 riyal...teka lagi kami. Tak betul juga. Syeikh kata cukuplah....gerentinya tiada yang tahu.

Tiba-tiba kawan saya yang duduk di belakang saya (seorang rakyat Senegal) yang hanya duduk diam saja dari tadi angkat tangan...Nanti dulu syeikh, saya nak cuba jawab!. Syeikh kata; betul ke anta tahu...syeikh masih confiden dia mestinya tak tahu. kawan tu bukannya antara pelajar bijak dalam kelas kami. Dia banyak diam dari bercakap.

Dengan terketar-ketar kawan saya jawab 'Ishfakallah tu maksudnya...mudah-mudahan Allah matikan kamu'

'Sahih!!!' Syeikh kata. Kami semua tergamam. MasyaAllah....saya tanya dia mana kamu tahu? Dia kata saya teka je, kadang-kadang kita kena fikir secara terbalik. Saya takut nak jawab, katanya. MasyaAllah, MasyaAllah. ....

Syeikh bagi dia 30 riyal. .....

Sekian cerita kali ini. Semoga beberapa kalimah dipelajari antaranya:

1) 'Kaifahalak?'
2) 'hallak?'
3) 'Ishlaunak?'
4) 'Alhamdulillah ana bikhair'
5) 'Toyyib ala ma yuram'
6) 'Qais miya miya'
7) 'SyafakaAllah'
8) 'IshfakaAllah' - jangan guna perkataan ini. hanya untuk pengetahuan sahaja.
9) 'Sahih'

Waillalliqa'....

Dr. Ibrahim
KSU, Riyadh

P/s: Catatan ini turut dihantar ke ruangan Forum EXSISTA kelolaan Sdr. Lokman Daud.

Ustazah Arfah & Ustaz Hamid ; Juga Guru Bahasa Arab Saya...

Assalamualaikum,

Ustazah Arfah selalu dalam ingatan saya lebih-lebih lagi bila saya duduk di Saudi sekarang.

Sebenarnya saya juga terkenangkan ustaz-ustazah lain yang pernah mengajar Bahasa Arab kepada saya termasuklah arwah Ustaz Othman Baijuri (OBJ), Ustaz Darwis, Ustaz Hamzah dan Ustaz Hamid. Apa taknya merekalah yang menjadi inspirasi dan orang-orang yang mula mengajar saya berbahasa arab semasa di Izzuddin dulu. Kini selalu saya bandingkan pengajaran mereka dengan guru-guru bahasa arab saya di sini; Syeikh Abdullah Amri, Syeikh Turki, Syeikh Addah Sudani dan Syeikh Saad Al-ghomidhi.

Ustazah Arpah adalah ustazah Bahasa Arab yang sangat istimewa. Pengajarannya mudah difahami terutamanya bab Mulahadzah, Hiwar dan Qawaid. Kelas saya (mungkin satu batch juga) sampai buat lagu tentang Ad-domair: Hua, huma, hom. Hia, huma, hunna. Anta, antuma, antum. Anti, antuma, antunna. Ana, nahnu. Saudara Karim, Harith Fadhilah dan Zaki Amin lah rasanya yang mencipta lagu domair ni. Sambil berlagu, sambil ketuk gendang (ketuk meja) sambil hafal domair. Riuh-rendah satu kelas waktu prep, sampai warden datang check...

Saya juga masih ingat bagaimana ustazah Arfah mengajar insyak dan ajar cara nak tulis surat (warakhah) rasmi dan tak rasmi. Ustazah suruh hafal muqqadimahnya; Ila akhil mukhtaram, arsalu ilaikum hazihi waraqah ainama kuntu fis sihhatin jaiyidah....panjang lagi. Hafazan ini membuatkan saya skor A1 Bahasa Arab SRP tahun 1983.

Jazakillah ustazah. saya doakan ustazah sihat dan dirahmati Allah.

Saya juga banyak kenangan tentang ustaz Hamid, beliaulah yang mengajar khat. Khat nasah, rakaah, thulus, diwani dan khufi. Kini saya boleh menulis khat nasah dan rakaah dengan baik, yang lain-lain tu tak berapa jadi. Khat ustaz Hamid sangat cantik. Arab kata halooo jamillllllllah.

Ustaz Hamid menggunakan kapur tulis yang dipotong runcing pada hujungnya apabila beliau menulis khat atas papan hitam. Saya antara murid yang kerap disuruh oleh ustaz pergi ambil kapur berwarna-warni kat pejabat sekolah untuk kelas khat.

Beliau juga yang menulis khat dengan cantik atas sepanduk perayaan maulidur rasul peringkat daerah Ipoh yang mana kami ramai-ramai pergi berarak keliling bandar Ipoh waktu tu sekitar tahun 81-83.

Ustaz jugalah yang mengusahakan pemakaian sampin batik hijau sekitar tahun 1980an yang ditempah khas dari Kelantan - negeri asal ustaz (kalau saya tak silap).

Sedihnya bila tahu ustaz terlantar sakit. Kalau saya ada di Malaysia, mahu saya ziarahi dia. Insyaallah kalau saya jadi ke Madinah minggu ni, saya akan doakan ustaz kat raudhah.

Kepada Sdr. Lokman, kalau ada gambar terkini ustaz dan ustazah tolonglah forwardkan kepada saya. Saya sangat merindui mereka. Mereka adalah sumber inspirasi saya!

Dr. Ibrahim
KSU, Riyadh.