Blog ini dibangunkan dengan niat untuk menjadikannya medan penulisan dan perkongsian bahan-bahan tarbiyyah termasuklah penulisan tentang pengalaman hidup, nasihat-nasihat, panduan-panduan berguna dan perbincangan isu-isu semasa buat manafaat diri sendiri, isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang boleh mencapainya. Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah saya yang diterima Allah sebagai amal soleh.

Ahad, 3 Januari 2010

Detik Manis Pertemuan 2 Sahabat pada 010110...Mahal Nilainya






Farid Taib - begitulah nama sahabat saya yang sudah hampir 25 tahun tidak berjumpa. Beliau merupakan sahabat saya semasa di Kolej Islam Kelang (KIK) dari tahun 1984-1985. Kami belajar dalam kelas yang sama iaitu di 5 Sains 1. Beliau berasal dari Pulau Pinang, bersekolah tingkatan 1-3 di Al-Irsyad, Pulau Pinang dan seingat saya beliau merupakan antara pelajar pintar dalam kelas kami. Selalunya saya kalah dengan beliau dalam banyak mata pelajaran.

Seusai belajar di KIK, masing-masing membawa diri; saya ke Kolej Pengajian Persediaan (KPP)untuk ke French manakala Farid juga ke KPP tapi untuk Program ke USA. Kami tinggal di kampus yang berbeza; saya di sesyen 17, PJ manakala Farid di Seksyen 17, Shah Alam. Selepas itu kami tidak berjumpa lagi sehinggalah dalam bulan Disember 2009, apabila secara tidak sengaja, kami berjumpa semula di alam maya Facebook. SubhanaAllah...begitulah kuasa Allah yang boleh memisahkan dan mempertemukan antara sesama manusia.

1 Januari 2010 (Jumaat) yang lepas merupakan detik manis dalam hidup saya di mana saya bertemu semula Farid secara nyata. Manisnya detik ini kerana kami bertemu di Madinah. Suatu tempat mulia lagi suci sesuci persahabatan ini...Kami berpelukan erat, lama sekali...Farid kata; mahal sungguh pertemuan ini. Ya...begitu mahal. Apa taknya kami berjumpa di Madinah yang besar perbelanjaannya untuk ke sana apatah lagi kami berjumpa di hotel Al-Ansar Azzahabiyyah. Kalau diterjemahkan perkataan zahabiyyah itu ke Bahasa Malaysia ia bermakna emas. 'Hotel Emas'Al-Ansar...tentu mahal harganya. Yang betulnya; nilai pertemuan ini sangat mahal.

Farid kelihatan masih macam dulu. Susuk tubuhnya tidak banyak berubah (tak macam saya, huh,huh sedihnya), wajahnya juga masih ceria sama seperti dulu. Yang saya sangat perasan, cara dia bercakap masih sama seperti dulu; laju dan cukup peramah. Orang Pulau Pinanglah katakan...Bahasa Arabnya masih boleh tahan. Mabruk Farid!!! Ini hasil tarbiyyah di Irsyad ni bukan di KIK kerana di KIK kami belajar bahasa arab secara minima (secara tak formal saja rasanya).

Farid kini mempunyai seorang isteri dan tiga anak. Anaknya yang sulung (perempuan,12 tahun)sedang menunggu keputusan interview untuk ke MRSM Tahfiz, Gemencih. Saya juga mempunyai anak sulung perempuan, berusia 12 tahun yang juga sedang menunggu keputusan untuk ke MRSM Tahfiz tapi di Kota Putera, Terengganu. Beliau bertugas di sebuah syarikat di Chemor (dekat Ipoh) sebagai seorang jurutera dan berulang alih pada hujung minggu ke rumahnya di Pulau Pinang.

Tidak puas rasanya bersembang di lobi hotel (waktu tu jam menunjukkan lebih kurang pukul 7.00 pagi di mana kami mula bertemu sebaik selesai sahaja solat subuh di masjid Nabawi dan hari itu Farid pastinya mempunyai jadual ziarah yang sangat padat). Saya mengambil keputusan untuk mengikut Farid menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah dengan menaiki bas rombongannya yang diuruskan oleh Syarikat Andalusia. Sambil melawat, sambil bersembang mengenang kisah silam.

Kami berpisah lebih kurang jam 10.30 pagi sebaik sahaja selesai ziarah. Banyak cerita telah dikongsi bersama dan kami akhirnya berpelukan lagi sebelum berpisah dan saya sempat bertanya Farid; Enta ikut usrah lagi ke?...soalan cepu emas tu!!! jawapannya tentu mahal...semahal nilai pertemuan ini.

Dr. Ibrahim Abu Bakar
KSU, Riyadh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan