Blog ini dibangunkan dengan niat untuk menjadikannya medan penulisan dan perkongsian bahan-bahan tarbiyyah termasuklah penulisan tentang pengalaman hidup, nasihat-nasihat, panduan-panduan berguna dan perbincangan isu-isu semasa buat manafaat diri sendiri, isteri, anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja yang boleh mencapainya. Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah saya yang diterima Allah sebagai amal soleh.

Ahad, 10 Januari 2010

Agama Vs Ad-din; Ad-dinul Islam. (Siri Fikrah Islam 1)

Saudaraku,

Akuilah bahawa untuk hidup di dunia ini, kita perlukan panduan (manual hidup). Panduan yang dimaksudkan di sini ialah agama. Dalam bahasa Arab ia disebut 'ad-din'.

Namun begitu, masyarakat kini seringkali menyalahgunakan perkataan agama. Ia sering kali dirujuk kepada beberapa acara keagamaan sahaja yang begitu sempit dan terhad. Oleh itu perkataan agama kurang tepat apabila kita merujuk kepada panduan hidup yang sepatutnya lebih menyeluruh.

Penggunaan perkataan 'ad-din' adalah lebih tepat kerana ia merujuk kepada satu cara hidup yang lebih luas maknanya meliputi keseluruhan hidup ini. 'Ad-din' barulah manual hidup yang sebenar.

Islam adalah 'ad-din'. Ia adalah satu panduan yang merangkumi peraturan-peraturan yang menyeluruh dan undang-undang yang lengkap dalam semua urusan hidup manusia di atas muka bumi ini.

Tiada panduan hidup yang lebih tepat, menyeluruh dan lengkap melainkan ad-dinul Islam. Firman Allah s.w.t. dalam sebahagian ayat ke 19, surah Ali-Imran (maksudnya);

'Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam'. ..

Firman Allah s.w.t juga dalam surah Al-Haj, ayat 78 (maksudnya):

...Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.

Ada manusia yang merasakan mereka tidak memerlukan panduan hidup atau tidak memerlukan agama untuk berada di atas muka bumi ini. Malah Allah juga tidak memaksa manusia memilih ad-dinul Islam. Ini jelas disebut Allah s.w.t dalam ayat ke 256, surah Al-Baqarah (maksudnya):

'Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'.


Rujukan:

(1) Al-Quran dan Terjemahannya
(2) Risalah Usrah; Konsep-konsep Umum Islam

2 ulasan:

  1. Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat ke 95 (maksudnya):

    Katakanlah: 'Benarlah (apa yang difahamkan) Allah'. Maka ikutilah agama Ibrahim yang lurus, dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang musyrik.

    BalasPadam
  2. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Maidah ayat ke-3 (maksudnya):...Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.

    BalasPadam